Categories
SUKANKINI

Piala Dunia mula dipamerkan

MOSCOW 14 JUN: Trofi Piala Dunia mula dipamerkan di depan 80,000 penonton yang memenuhi Stadium Luzhniki menjelang perlawanan pembuka tirai antara tuan rumah, Russia dan Arab Saudi.

Suasana gegak gempita mewarnai acara pembukaan dengan bekas penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas diberi penghormatan menjulang trofi itu untuk dirakamkan oleh penyokong.

Di luar stadium yang melalui proses naik taraf itu, pelbagai gelagat penyokong yang menari dan bersorak dengan anggota polis mengawal ketat situasi di stadium.

Penyokong Russia berterusan bersorak bersama sekumpulan penyokong Arab Saudi yang lengkap berpakaian hijau di luar pintu masuk stadium.

Acara pembukaan turut menampilkan konsert mini oleh bintang British, Robbie Williams yang mendendangkan lagu popularnya, “Let Me Entertain You”.

Presiden Russia, Vladimir Putin dan bos FIFA, Gianni Infantino merasmikan acara pembukaan beberapa minit sebelum sepak mula.

SUMBER: AFP