Categories
SUKANKINI

Piala Dunia: Pasukan Iran tanpa kasut Nike

MOSCOW 18 JUN: Pasukan bola sepak Iran berdepan dilema semasa menyertai kejohanan Piala Dunia di Moscow berikutan pemain-pemainnya yang memakai jenama popular Amerika Syarikat (AS), Nike terpaksa membeli but sendiri.

Perkembangan itu berlaku apabila Presiden AS, Donald Trump mengenakan sekatan baharu ke atas Iran selepas membatalkan perjanjian nuklear dengan Teheran.

Berikutan itu, gergasi pakaian dan peralatan sukan, Nike terpaksa menarik balik bekalan but kepada pasukan Iran.

Pada 8 Mei lalu, Trump mengumumkan pengunduran AS daripada perjanjian nuklear tersebut dengan alasan bahawa Iran meneruskan aktiviti nuklear dan menyokong keganasan.

“Sejak perjanjian nuklear ini dimeterai pada 2015, cita-cita nuklear Iran semakin terserlah,” kata Trump.

Pelaksanaan sekatan baharu tersebut menyebabkan banyak syarikat mengambil keputusan menggantung urus niaga dengan Iran dengan Nike menjadi antara syarikat terbesar berbuat demikian.

Namun, tiga pemain Iran iaitu Sardar Azmoun, Masoud Shojaei dan Ramin Rezaeian kelihatan masih memakai but Nike di padang. Iran yang berada dalam Kumpulan B, menewaskan Maghribi 1-0 dalam perlawanan pembukaannya.

Tindakan oleh Nike itu juga mencetuskan kemarahan pengurus pasukan Iran, Carlos Queiroz menjelang perlawanan sulung anak buahnya itu.

Beberapa pemain Iran dilihat memakai but Nike semasa sesi latihan di bandar raya Saint Petersburg Khamis lalu tetapi mereka membelinya sendiri daripada kedai barangan sukan Rusia.

“Sekatan AS bermakna bahawa sebagai sebuah syarikat AS, Nike tidak lagi boleh membekalkan but kepada pasukan Iran pada masa ini,” kata pasukan bola sepak Iran dalam satu kenyataan seperti laporan saluran sukan ESPN.

Syarikat yang melanggar sekatan itu boleh dikenakan denda berat di AS. –

SUMBER: Agensi