Categories
SUKANKINI

Piala Dunia: Peluang Asia buat kejutan

MOSCOW 14 JUN: Kejohanan bola sepak Piala Dunia 2018 bakal membuka tirai Khamis ini dengan pasukan berstatus underdog seperti Arab Saudi dan Australia boleh membuat kejutan awal di Rusia.

Dengan Arab Saudi bakal bertemu tuan rumah Rusia sempena pembukaan Piala Dunia 2018 Khamis ini, Australia pula berpeluang untuk mengejutkan finalis Euro 2016, Perancis pada Sabtu.

Namun, menjelang pertembungan tuan rumah dengan Arab Saudi, bintang Argentina Lionel Messi dan rakan sepasukan termasuk pemain berbakat Perancis seperti Antoine Griezmann dan Kylian juga dilihat sudah siap sepenuhnya bagi mengharungi kejohanan berprestij tersebut.

Penyandang juara, Jerman yang sedang mengintai untuk menyamai rekod pencapaian Brazil iaitu lima gelaran Piala Dunia, bakal tiba di Rusia hari ini, di samping skuad muda Gareth Southgate, England.

Skuad Brazil yang dibintangi Neymar tiba di kawasan peranginan di Sochi beberapa jam selepas membenam Austria 3-0 dalam aksi pemanas badan terakhir Ahad lalu.

Neymar yang mengalami retak tulang kaki pada Februari menunjukkan perkembangan positif selepas berehat tiga bulan apabila meledak gol pada perlawanan tersebut di Vienna.

Terdahulu, ramai yang mempertikaikan pilihan Rusia sebagai tuan rumah susulan kes rasuah menjelang kejohanan tersebut selain beberapa ketegangan antarabangsa daripada negara tuan rumah.

Rusia dan Barat terlibat dalam gelombang besar pengusiran diplomatik tentera selepas London menuduh Moscow mempunyai kaitan dengan kematian Sergei Skripal di Britain pada Mac lalu.

Bagaimanapun, masa terus berjalan menjelang majlis pembukaan di stadium Luzhniki, Moscow yang berkapasiti 80,000 di mana kejohanan itu bakal meleraikan persengketaan dunia dan menempatkan pelbagai rakyat dari negara luar.

Sebagai contoh, seramai 3,500 penyokong Australia hadir menyaksikan sesi latihan pasukan mereka di tengah bandar Kazan.

Penyokong Rusia, menikmati percutian sambil melaungkan “Aussie, Aussie, Aussie, go, go, go”.

Penjaga gol Socceroos, Mat Ryan memberi amaran kepada Perancis bahawa pasukannya telah banyak berubah dan bersedia untuk membuat kejutan di Kazan, Sabtu ini.

“Ayuh hadir ke perlawana menentang Perancis. Kami sudah bersedia sepenuhnya dan berikan kami peluang untuk memenangi perlawanan itu nanti. Kami tidak sabar untuk menunggu aksi Sabtu ini,” kata benteng terakhir kelab Liga Perdana Inggeris, Brighton itu.

SUMBER: AFP