Categories
SELANGOR

PKNS anjur larian lasak sambil berbasikal

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal menganjurkan larian Trail Run & Duathlon 2018, pada 21 hingga 22 Julai ini di Bernam Jaya, Hulu Selangor.

Ketua Pegawai Operasinya, Norita Mohd Sidek berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan memupuk kehidupan sihat dan memperkenalkan Bernam Jaya kepada orang ramai.

“Bernam Jaya yang juga lokasi strategik antara Selangor dan Perak itu adalah pusat pertumbuhan baharu PKNS yang sedang giat dibangunkan.

“Penganjuran program ini bertujuan memperkenalkan lokasi itu yang berpotensi sebagai salah satu destinasi ideal berkonsepkan pusat aktiviti lasak, sekali gus mendorong masyarakat mengamalkan aktiviti dan gaya hidup sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sidang Media PKNS Trail Run & Duathlon 2018 di Laman PKNS, di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah, Azmi Adnan; Pengerusi Urusetia, Saharom Mohni dan Pengarah Acara, Mohd Azlishah Abdullah.

Pada masa sama, Norita berkata, terdapat dua kategori dipertandingkan meliputi PKNS Trail Run terbuka lelaki dan wanita bagi acara larian 21 kilometer (km), 10km dan 5km, pada 21 Julai ini.

Manakala, katanya, acara berbasikal sambil berlari Trail Duathlon pula diadakan, pada 22 Julai ini membabitkan kategori terbuka lelaki dan wanita.

“Trail Duathlon membabitkan dua disiplin itu bermula larian 5km, berbasikal 20km dan diteruskan dengan larian terakhir sejauh 5km sebelum ke garisan penamat.

“Sehingga hari ini, PKNS sudah menerima 500 penyertaan terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan negeri,” katanya.

PKNS Trail Run & Duathlon menawarkan hadiah keseluruhan RM72,000 kepada bakal pemenang.

Penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas dengan yuran penyertaan bagi acaran Trail Run untuk kategori 21km RM100; 10km (RM60); 5km (RM30) dan Trail Duathlon pula RM150.

Kepada mereka yang berminat, sila daftarkan penyertaan di laman sesawang www.raceXasia.com sebelum atau pada 10 Julai ini.

Sebarang maklumat lanjut sila layari akaun Facebook PKNS Trail Run & Duathlon 2018, hubungi 0164642502 atau email kepada [email protected].