Categories
NASIONAL

PM: Malaysia bakal wujud kereta nasional baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 JUN : Malaysia bakal mewujudkan kereta nasional baharu menerusi kerjasama dengan negara serantau lain, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ia disebabkan Proton bukan lagi kereta nasional kerana sebahagian besar saham syarikat terbabit kini dimiliki syarikat China, Geely.

“Aspirasi kita sekarang ialah memulakan sebuah lagi projek kereta nasional, mungkin dengan kerjasama negara serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi dialog Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia sempena Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-24, hari ini.

Tun Dr Mahathir berkata, Thailand dan Jepun adalah antara negara serantau yang memiliki kepakaran dalam pembuatan kenderaan.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya mengenai potensi pembangunan industri baharu Malaysia dan bagaimana pelabur asing dapat menyelesaikan isu itu.

“Kita mungkin terpaksa mengharapkan rakan asing pada peringkat permulaan ini tetapi lambat laun kita berharap pekerja tempatan sendiri dapat menguasai teknologi yang diguna pakai,” katanya.