Categories
SELANGOR

Pusat-Negeri sepakat isu penstrukturan air Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN: Isu penstrukturan air Selangor bakal dimuktamadkan Julai ini, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau optimis, pertikaian isu berkenaan mampu diselesaikan selepas Kerajaan Pakatan (PAKATAN) menerajui kepimpinan di Putrajaya.

“Sebelum ini mungkin wujud perbezaan pandangan dan sikap antara Kerajaan Negeri dan Pusat (BN) berhubung perkara ini.

“Kali ini, dengan keserasian antara Pusat dan Negeri, saya yakin menjelang tarikh tamat luput (penstrukturan) Julai ini, ia boleh dimuktamadkan.

“Paling tidak, kita akan mempunyai keputusan kukuh untuk penyelasaian pemuktamatan isu air di Selangor yang sekian lama tertangguh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Dato’ Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pagi ini.

Terdahulu, Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) memiliki 30 peratus kepentingan dalam Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) menjangkakan dapat memuktamadkan isu penstrukturan air pada Julai ini.

Isu berkenaan sukar mencapai kata putus memandangkan sebelum ini status pentadbiran negeri sebagai pembangkang di peringkat Persekutuan.

Kerajaan Negeri sebelum ini menegaskan, pengambilalihan sepenuhnya sukar dibuat susulan keengganan Kementerian Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) masih belum mengemukakan nilai sebenar ekuiti rundingan pengambilalihan konsesi SPLASH.

Kelewatan itu menyebabkan proses rundingan gagal dimuktamadkan walaupun di peringkat Kerajaan Negeri, jumlah nilai ekuiti sebenar sudah dinyatakan menerusi lantikan panel penilai negeri.