Categories
SELANGOR

Rekod cemerlang Azmin, jadi rujukan Amirudin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN: Prestasi cemerlang pentadbiran Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjadi rujukan terbaik kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meneruskan rekod kegemilangan itu.

Beliau berkata, kejayaan itu menjadi asas terpenting baginya untuk kekal meletakkan Selangor sebagai negeri terbaik di Malaysia.

“Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merupakan seorang Dato’ Menteri Besar yang cemerlang, berwawasan dan berintergriti malah dikasihi Tuanku Sultan serta disanjung rakyat Selangor.

“Saya tidak melihat hakikat ini sebagai halangan terhadap misi saya dalam menerajui pentadbiran negeri.

“Saya merasa amat bertuah kerana dengan ‘track record’ beliau yang begitu ‘outstanding’ itu mendorong saya melaksanakan yang terbaik dengan menggunakan kejayaan beliau sebagai penanda aras.

“Saya berikrar memastikan kesinambungan pentadbiran cemerlang dan melonjakkan Selangor ke tahap seterusnya demi membangun bangsa memakmur negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penerimaan tugas Dato’ Menteri Besar Selangor yang disiarkan secara langsung di media rasmi milik Kerajaan Negeri, TV Selangor, pagi ini.

Semalam, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan ikrar Aku Janji itu diadakan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pemilihan Amirudin dibuat selepas Mohamed Azmin melepaskan jawatan itu berikutan pelantikan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.