Categories
EKONOMI NASIONAL Ringgit

Ringgit rendah berbanding dolar AS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JUN: Ringgit kini dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan menunggu peserta pasaran, lapor peniaga.

Memetik laporan Bernama, setakat jam 9 pagi tadi, mata wang tempatan disebut pada 4.0100/0130 berbanding dolar AS daripada 4.0010/0040 yang direkodkan sewaktu penutup pasaran Jumaat minggu lalu.

Bagaimanapun, peniaga menjangkakan ringgit bakal menerima sokongan belian mulai hari ini.

Ia ekoran wujudnya sentimen positif selepas pengumuman pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) baharu, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkuat kuasa 1 Julai ini.

“Pasaran gembira dengan pengumuman itu memandangkan ia menunjukkan dasar status quo,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Nota tempatan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.9461/9494 daripada 2.9484/9511 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3161/3204 daripada 5.3189/3245.

Ringgit bagaimanapun lemah berbanding yen Jepun kepada 3.6581/6618 daripada 3.6323/6360 serta rendah berbanding euro kepada 4.6733/6784 daripada 4.6644/6683.