Categories
SELANGOR

Rodziah: Dilantik Exco, Selangor tepati sasaran 30% penyertaan wanita

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail menjelaskan pelantikannya sebagai Exco Kerajaan Negeri meletakkan Selangor sebagai negeri pertama menepati sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam pentadbiran negeri.

Beliau berkata, kepercayaan diberikan untuk kembali ke jawatan berkenaan akan digalas penuh tanggungjawab bagi memenuhi hasrat kepimpinan Kerajaan Negeri dalam misi memacu Selangor sebagi ‘Smart Regional State’.

“Saya gembira dengan pelantikan ini kerana Selangor satu-satunya negeri yang melengkapkan sasaran penyertaan 30 peratus wanita dalam kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Saya yakin dan bersedia menjalankan tanggungjawab apa sahaja portfolio diberikan serta meminta Dato’ Menteri Besar melihat saya sebagai individu yang mampu membantunya,” katanya kepada media di kediaman Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Rodziah pernah memegang jawatan Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita dari 2008 sehingga 2013 ketika pentadbiran negeri diterajui mantan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim.

Selepas berehat lebih kurang empat tahun, beliau berkata, pelantikan kembali sebagai Exco Kerajaan Negeri pasti akan memberikan cabaran berbeza keraja pentadbiran negeri dan negara kini di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Berhubung portfolio yang bakal disandang, katanya, perbincangan telah diadakan antara beliau dan Dato’ Menteri Besar namun berharap semua Exco yang lain turut membantu dalam perkara berkenaan.

“Saya tidak pasti lagi portfolio apa akan diberikan juga membabitkan Exco lain tetapi rasanya mungkin berkaitan antara saya dan Dato’ Menteri Besar sahaja.

“Berpandukan saranan Tuanku, Baginda mengharapkan dalam tempoh enam bulan ini untuk kita mulakan kerja dan membuktikan kemampuan mentadbir negeri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran terbesar adalah mengekalkan ‘benchmark’ ditinggalkan mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya seorang individu yang sukakan cabaran apabila diberikan sesuatu yang baharu maka mungkin akan diberi portfolio baharu namun cabaran paling besar ialah mengekalkan ‘benchmark’ diletakkan Mohamed Azmin.

“Bagi saya, ia satu cabaran besar apabila kita mula bekerja pada tahap ‘benchmark’ itu,” katanya.

Selain Rodziah, dua lagi Exco wanita ialah Haniza Talha selaku Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar serta Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga).

=EZY=