Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rumah Terbuka: 25 shuttle van percuma disediakan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Sebanyak 25 shuttle van secara percuma disediakan penganjur Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Eidul Fitr anjuran Kerajaan Selangor, esok.

Jawatankuasa Mobilisasi, Norhisham Mamat@Zakaria berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana pihak penganjur cuba menyediakan pengangkutan percuma bagi memudahkan mereka menghadiri majlis tersebut.

Katanya, shuttle van yang mampu memuatkan sembilan penumpang dalam satu-satu masa itu disediakan seawal jam 9 pagi hingga jam 4 petang.

“Sementara itu terdapat lapan tempat letak kereta awam disediakan buat orang ramai, iaitu di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Plaza Azalea, parkir awam masjid, parkir awam PKPS dan parkir awam Royal Theatre.

“Orang ramai juga boleh menggunakan bas percuma yang disediakan Bas Smart Selangor sekiranya turun dari Keretapi Tanah Melayu (KTM) Seksyen 19 dan Batu 3, di situ ada disediakan pengangkutan bas percuma untuk ke majlis rumah terbuka di Dataran Kemerdekaan Shah Alam,” katanya.

Dijangka lebih 50,000 pengunjung akan hadir bagi memeriahkan majlis rumah terbuka berkenaan.

Bagaimanapun laluan Dataran Kemerdekaan Shah Alam berdekatan laluan utama Jalan Persiaran Bandar Raya akan ditutup, bermula 12 hingga 28 Jun ini bagi acara itu.

=EZY=