Categories
SELANGOR

Rumah Terbuka Selangor: Sate Che Mat, Kebab 5Ruz antara jadi tumpuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JUN: Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Eidul Fitr Peringkat Negeri mendapat sambutan apabila dihadiri lebih 50,000 pengunjung sejak pagi tadi.

Tinjauan SelangorKini mendapati, walaupun jam sudah menunjukkan jam 4.00 petang, namun pengunjung majlis penuh meriah itu masih beratur panjang untuk mengambil juadah yang disediakan.

Antara gerai yang mendapat tumpuan pengunjung termasuklah gerai Kebab 5Ruz yang menggunakan rempah rahsia dalam resepinya.

Pengusaha perniagaan terbabit, Muhammad Faizal Yop, 35, berkata, kakitangannya gerainya mula diserbu orang ramai sejak jam 10.00 pagi tadi.

“Kami menyediakan lebih 2,000 keping kebab ayam dan daging. Sehingga kini hanya tinggal sedikit sahaja, kurang 100 sahaja tapi orang masih beratur panjang.

“Antara keistimewaan kebab kami, kami menggunakan rempah rahsia yang berbeza dengan kebab lain,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Gerai Sate Che Mat daripada Sekinchan turut tidak menang tangan untuk menyediakan sate untuk pengunjung yang sentiasa beratur panjang.

SelangorKini difahamkan pengusaha terbabit menyediakan lebih 20,000 cucuk sate untuk majlis rumah terbuka kali ini.

Manakala, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pula menyediakan lebih 10 tan buah-buahan tempatan daripada ladang PKPS sendiri. Antaranya buah nangka, tembikai, tembikai susu dan jambu batu.

Gerai lain yang turut mendapat tumpuan, cendol, bihun sup gearbox, ayam golek, roti john, apam balik crispy, ketupat, lemang, rendang dan banyak lagi.

Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan persembahan istimewa beberapa artis popular seperti Jay Jay, Khai Bahar, Yassin dan lain-lain.