Categories
SELANGOR

Selangor bincang cadangan perumahan Highland Tower

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung cadangan Putrajaya untuk membangunkan semula perumahan Highland Tower kepada golongan B40.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Exco bertanggungjawab, Haniza Talha akan mengadakan pertemuan susulan bagi mendapatkan maklum balas menyeluruh terhadap pelaksanaan cadangan itu.

“Haniza Talha akan berhubung terus dengan kementerian untuk membantu pelaksanaan cadangan ini.

“Ini kerana di peringkat pentadbiran Kerajaan Selangor, kita mengalu-alukan sebarang bentuk pembaikan daripada Kerajaan Persekutuan atau syarikat swasta untuk memakmurkan dan memajukan negeri,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Institut Darul Ehsan (IDE), petang ini.

Untuk rekod, Haniza merupakan Exco bertanggungjawab dalam isu berkaitan pembangunan perumahan di bawah portfolio Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor.

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk melaksanakan kajian kemungkinan bagi pengambilan tanah dan pembangunan semula kawasan Highland Towers.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin mendedahkan, wujud kemungkinan untuk dibangunkan perumahan baru di kawasan berkenaan kepada golongan B40.

Bagaimanapun, wujud pelbagai riaksi daripada masyarakat terhadap cadangan berkenaan.

Kawasan Highland Towers merupakan lokasi tanah premium yang terjejas akibat insiden 1 daripada 3 nlok Kondominium Highlang Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh akibat aliran air bawah tanah.

Tragedi malang itu mengorbankan 48 nyawa dan dianggap antara kemalangan tanah runtuh terburuk negara.