Categories
SELANGOR

Selangor iktiraf ‘Menteri Ekonomi Rumahtangga’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JUN: Pentadbiran Kerajaan Negeri mengiktiraf komitmen dan sumbangan golongan ibu dalam mengurus kebajikan keluarga, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Beliau berkata, inisiatif itu dibuktikan menerusi pemberian Kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) kepada golongan itu.

“Sebagai wanita, kita juga digelar sebagai Menteri Ekonomi Rumahtangga.

“Peranan itulah menyebabkan Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar KISS khas buat kaum Ibu yang ada tanggungan.

“Keyakinan wanita sebagai pengurus kewangan itu dijadikan asas kad KISS kepada kaum ibu di Selangor,” kata bekas suri rumah itu, kepada SelangorKini.

Terdahulu, menerusi Belanjawan 2018, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan program KISS dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Pemberian itu dijangkan akan memberi manfaat kepada 30,000 penerima.

KISS dikhususkan kepada wanita berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah yang melayakkan mereka mendapatkan bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di pasar raya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti.