Categories
SELANGOR

Selangor Industrial Ride 2.0 sasar penyertaan 1,000 peserta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JUN: Selangor Industrial Ride (SIR) 2.0 bakal diadakan pada 15 Julai ini dengan menyasarkan seramai 1,000 peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, SIR itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran alam sekitar dan kesihatan di kalangan masyarakat serta komuniti perindustrian.

Katanya, ia juga sebagai usaha merapatkan hubungan Kerajaan Negeri dan pemain industri dalam aktiviti sukan berbasikal.

“Acara berbasikal ini juga adalah satu gaya hidup rekreasi dan sosial pada masa ini serta merupakan platform ideal di mana ianya baik untuk kesihatan.

“Diharapkan melalui program berbasikal ini dapat merapatkan hubungan di antara pihak Kerajaan Negeri dan komuniti perindustrian menerusi persaingan sihat dalam acara berbasikal,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Prapelancaran SIR 2.0 di Ibu Pejabat Invest Selangor Berhad, di sini.

Hasan berkata seramai 583 peserta mengesahkan pendaftaran secara online, setakat ini.

Beliau menjangkakan jumlah peserta itu akan meningkat selepas sambutan Hari Raya depan.

“Acara ini berkonsepkan Fun Ride sepanjang 25 kilometer dengan menjelajah kawasan perindustian Bangi.

“Laluannya agak mencabar kerana berbukit berbanding di Shah Alam, tahun lalu,” katanya.

Hasan berkata sasaran 1,000 itu ditetapkan bagi memastikan kelancaran aktiviti serta faktor keselamatan, penganjur menghadkan penyertaan peserta bagi program terbabit.

Bertempat di Sony EMCS (M) Sdn Bhd, Bangi, ia akan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar.

Mereka yang ingin mendaftar boleh layari laman sesawang www.bikeaway.com.my

Program yang memasuki tahun kedua penganjuran ini dianjurkan dengan kerjasama Kelab Rekreasi Invest Selangor (KRIS) dan Majlis Perbandaran Kajang.

Tahun lalu, Program kayuhan basikal Selangor Industrial Ride 1.0 itu diketuai Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

 

=EZY=