Categories
ALAM SEKITAR & CUACA PELANCONGAN SELANGOR

Selangor ‘miliki’ sebahagian Bukit Fraser

OLEH NADIAH ZAMLUS

BUKIT FRASER 18 JUN : Bukit Fraser, sudah pasti rata-rata diantara kita yang menjangkakan lokasi pelancongan itu terletak dalam Pahang sepenuhnya, namun sangkaan tersebut meleset memandangkan Selangor turut mempunyai sebahagian sempadan di bukit peranginan terkenal itu.

Pada 9 Mac 2018, Kerajaan Pahang dan juga Kerajaan Selangor pada waktu itu menandatangani Memorandum Perseahaman (MoU) dan Perjanjian Sempadan Pahang dan Selangor yang berkait rapat dengan Bukit Fraser.

Melalui MoU tersebut, jarak jajaran sempadan Pahang-Selangor adalah sepanjang 99.5 kilometer.

Malah pada 11 Julai 1994 juga terdapat MoU yang termeterai iaitu Bukit Fraser ke titik sempadan tiga negeri, Selangor, Perak dan Pahang dengan jarak 16.5 kilometer.

Usaha-usaha penandaan dan pengukuran tersebut telah bermula sejak 1993, dengan kerjasama Kerajaan Selangor dan Pahang pada waktu itu.

Mengikut cerita orang lama di Bukit Fraser, KS Durai, berkata, kedai kopi yang terletak di jalan masuk utama ke Bukit Fraser dari arah Kuala Kubu Baru adalah sempadan diantara Selangor dan Pahang.

“Ya kedai kopi ini seringkali dikunjungi oleh kerabat diraja satu ketika dahulu, dan di sini terdapat Istana Pelangi milik keluarga diraja Selangor.

“Tidak dinafikan memang ramai yang fikir Pahang mempunyai hak penuh terhadap Bukit Fraser, hakikatnya terdapat sebahagian kawasan adalah hak Selangor,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Kedai kopi Kheng Yuen Lee yang menjadi tanda utama sempadan Selangor dan Pahang itu juga diantara tarikan kepada pelancong yang datang ke Bukit Fraser, ramai diantara mereka yang tidak melepaskan peluang dengan mengambil gambar di lokasi berkenaan.

Oleh kerana wujudnya sebahagian Bukit Fraser dalam negeri ini, Kerajaan Selangor menerusi Majlis Daerah Hulu Selangor (MHDS) dengan kerjasama Tourism Selangor berusaha menarik orang ramai ke lokasi pelancongan tersebut.

Hampir saban tahun MDHS menganjurkan acara Pesta Burung Antarabangsa yang kini berjaya menarik lebih 2,000 pengunjung dengan 800 penyertaan termasuk dari luar negara.

Pesta Burung Antarabangsa sekaligus menjadikan Bukit Fraser sebagai lokasi utama pertandingan.

Durai berkata, uniknya, Selangor diantara negeri yang berusaha menarik pelancong ke kawasan berkenaan dengan mengadakan Pesta Burung Antarabangsa saban tahun.

Hampir 32 tahun dalam bidang mengenalpasti spesis burung, Durai memberitahu kini terdapat hampir 300 spesis burung di atas Bukit Fraser.

“Kesemua burung ini ada diantaranya memang datang dari kawasan berdekatan dan ada juga migrasi daripada negara luar. Bezanya di sini burung berkenaan begitu unik kerana tidak akan ditemui di tempat lain,” katanya.

Bagi peminat burung, ia dianggap sebagai peluang keemasan sehingga menyebabkan peminatnya dari seluruh dunia sanggup datang ke Bukit Fraser bagi melihat sendiri spesis unik berkenaan.

Selain kaya dengan tarikan flora dan fauna, Tourism Selangor turut menawarkan penginapan selesa dan cantik di Bukit Fraser iaitu Rumah Rehat Sri Berkat (RRSB).

Pengurus Pembangunan Produk dan Perniagaan Tourism Selangor, Fadhirul Anuar Saleh berkata, RRSB yang dibina dengan bercirikan bangunan klasik ala Inggeris sejak 1926 bakal menggamit pelancong.

“Menariknya ia ditaawarkan dengan harga serendah RM99 semalam dan boleh disewa dengan sebuah bangunan untuk pelbagai majlis keraian,” katanya.

Selain itu, Rumah Rehat Banglo Sultan Sulaiman yang juga dinamakan Banglo Sri Selangor pula dibuka kepada semua penjawat awam Selangor sekiranya ingin bercuti atas Bukit Fraser.

Bagaimanapun tempahan boleh dibuat melalui Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau melalui laman web, e-tempahan.selangor.gov.my.

=EZY=