Categories
PBT SELANGOR

Smart Selangor Parking di 5 PBT Julai ini

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 27 JUN: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) melalui SSDU Inovations Sdn Bhd melaksanakan sistem Smart Selangor Parking (SSP) mulai 1 Julai ini.

Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, sistem pembayaran parkir dan kompaun berintegrasi atas talian menerusi aplikasi telefon pintar itu adalah saluran tambahan kepada penggunaan kupon parkir dan pembayaran kompaun parkir.

Katanya, SSP Fasa 1 itu membabitkan parkir ‘ on-street’ di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Melalui SSP, pengguna boleh tambah nilai ke dalam satu akaun atas talian menerusi aplikasi telefon pintar untuk membayar caj dan kompaun letak kereta di parkir ‘on-street’ di PBT terlibat.

“Pengguna boleh menambah kredit SSP mereka menggunakan kaedah perbankan atas talian seperti Maybank2u, CIMB Cliks, Ambank Online dan e-wallet ‘Boost’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Smart Selangor Parking (SSP) Fasa 1 di Hotel Holiday Inn, Seksyen U1, Glenmarie di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis pelancaran disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Fahmi berkata, pembangunan SSP selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Smart State menjelang 2025.

“Selain kaedah tambahan untuk pengguna, SSP juga ternyata memudahkan pembayaran caj dan kompaun kerana pengguna tidak perlu mencari ejen jualan kupon atau kiosk pembayaran caj parkir.

“Sebaliknya, caj parkir dan kompaun boleh dilunaskan dihujung jadi melalui satu aplikasi sahaja iaitu SSP,” katanya.

Melalui SSP, pembayaran caj dan kompaun parkir boleh dilakukan menerusi tiga kaedah iaitu menerusi pembayaran elektronik menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi SSP yang boleh dimuat turun daripada Apple AppStore atau Google Playstore.

Bagi pengguna yang tidak mempunyai telefon pintar, boleh membuat pembayaran parkir menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menghantar SMS ke +061110323278 dengan format <PBT No. Plat Kenderaan Jam>.

Pengguna juga boleh menggunakan e-wallet ‘Boost’ untuk membayar caj parkir mereka.

“Kadar caj letak kenderaan dan kompaun yang dikenakan SSP adalah mengikut kadar sedia ada seperti ditetapkan PBT yang menyertai pelaksanaan SSP,” katanya.