Categories
NASIONAL

SPRM minta orang ramai waspada panggilan palsu

OLEH HAZIQ ISMAI

SHAH ALAM, 6 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta orang ramai berhati-hati dan tidak terpedaya dengan panggilan telefon meragukan yang mendakwa dari pihaknya meminta maklumat peribadi.

Menurut SPRM, panggilan itu dikhuatiri palsu daripada individu yang tidak bertanggungjawab.

“Ini susulan banyak aduan diterima SPRM daripada mangsa yang terpedaya dengan panggilan palsu berkenaan kebelakangan ini.” katanya dalam kenyataan.

Katanya, orang ramai yang menerima panggilan meragukan itu disaran mendapatkan pengesahan daripada mana-mana pejabat SPRM terdekat menerusi talian dan alamat di portal rasmi www.sprm.gov.my.

Tambahnya, SPRM tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis berhubung kejadian panggilan palsu yang menggunakan nama suruhanjaya itu.

Pihaknya juga akan membuat laporan terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat panggilan itu yang telah menjejaskan nama dan reputasinya.

=EZY=