Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SSDU dan Media Selangor tiada sebarang kerjasama dengan DIGEST

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN : Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) tidak pernah berhubung dan mempunyai sebarang bentuk kerjasama bersama Persatuan Usahawan Digital Selangor (DIGEST), kata Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah.

Dr Fahmi berkata, SSDU selaku badan rasmi yang dimandatkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk menerajui dan melaksanakan program Smart Selangor mewakili Kerajaan Negeri tidak pernah mempunyai sebarang bentuk kerjasama atau hubungan rasmi mahupun tidak rasmi bersama DIGEST, sehingga kini.

“SSDU tidak pernah memberikan sebarang bentuk sokongan kepada sebarang program yang dianjurkan pihak DIGEST.

“Saya merujuk kepada jemputan program Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Persatuan yang dianjurkan DIGEST, di Hotel Grand Blue Wave, di sini, semalam,” katanya dalam kenyataan.

Malah, beliau berkata, SSDU juga tidak pernah berhubung atau mempunyai sebarang bentuk kerjasama dengan semua penama daripada pihak DIGEST seperti tertera dalam jemputan.

Katanya, antara nama yang dinyatakan adalah Presiden DIGEST, Haidar Darus; Timbalan Presiden, Idris Baharom; Pengarah Kewangan, Affify Khusli; Pengarah Operasi, Aadzim Sen-Gupta dan Penaung juga Penasihat DIGEST, Dato’ Sri Megat D Shahriman.

Sementara itu, Media Selangor turut menegaskan tidak mempunyai sebarang bentuk kerjasama juga urusan dengan pihak DIGEST serta menyangkal dakwaan sebagai rakan strategik selain tidak mengetahui segala bentuk aktiviti persatuan berkenaan.