Categories
SELANGOR

SSDU hargai jasa Mohamed Azmin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Smart Selangor Delivery Unit (SDDU) merakamkan ucapan tahniah kepada mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di atas pelantikan selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk Kerajaan Persekutuan.

Pengarah SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, pihaknya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Mohamed Azmin yang banyak mencetuskan idea dan sokongan dalam memulakan program Smart Selangor Smart State.

“Bagaimanapun, ia tidak terhenti di sini kerana program itu akan tetap diteruskan di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar yang baharu, Amirudin Shari,” katanya.

Terdahulu, SSDU berhasrat melaksanakan lapan projek infrastruktur, pada tahun ini.

Ia termasuk sistem pembayaran parkir untuk semua Pihak Berkuasa Tempatan yang mengenakan bayaran ruang parkir menerusi sistem ‘Smart Parking’.

SSDU turut mencuba sistem ‘Digital Wallet’ yang menyimpan duit serta dokumen penting seperti kad pengenalan, lesen memandu dan baucar secara digital bagi memudahkan transaksi berlaku tanpa tunai.

SSDU ditubuhkan pada April 2016, merupakan unit khas diberi mandat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menggerakkan Smart Selangor dengan lebih efektif.

Pada awal Disember 2016, Smart Selangor Blueprint 1.0 dilancarkan dengan menumpukan empat teras utama iaitu Inovasi, Perhubungan, Perpaduan Sosial dan Kehidupan Mampan.

=EZY=