Categories
SELANGOR

SSDU kunjungi Baitul Barokah, hulur bantuan Aidilfitri

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 9 JUN: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkesempatan berkunjung ke Baitul Barokah Wal Mahabbah di Rumah Baitul Barokah bagi menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, kunjungan itu juga merupakan sebahagian inisiatif Activ8 Smart Selangor.

Katanya, ia bertujuan menjalinkan hubungan silaturrahim di antara SSDU dan rakyat Selangor terutamanya golongan kurang berkemampuan.

“Kami dapat bertemu penghuni Baitul Barokah Wal Mahabbah, termasuklah 122 anak yatim dan 45 kakitangan rumah itu.

“SSDU turut menyampaikan sumbangan baju raya pada setiap anak yatim, barangan dapur dan sedikit duit raya,” katanya di majlis itu, semalam.

Dr Fahmi berkata, anak-anak yatim itu juga diberikan sedikit barangan sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor.

SSDU ditubuhkan pada April 2016, merupakan unit khas diberi mandat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menggerakkan agenda Smart Selangor dengan lebih efektif.

Pada awal Disember 2016, Smart Selangor Blueprint 1.0 dilancarkan dengan menumpukan empat teras utama iaitu Inovasi, Perhubungan, Perpaduan Sosial dan Kehidupan Mampan.