Categories
SELANGOR

Sultan berkenan sumbang lebih RM200 ribu kepada asnaf

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 8 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, di Masjid Nurul Iman Batu 10, semalam.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri sejumlah RM239,500 kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Daripada jumlah itu, RM55,000 diserahkan kepada 110 asnaf fakir, manakala RM89,500 diagihkan kepada 179 asnaf miskin.

Sementara itu, RM95,000 diserahkan kepada 190 asnaf mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar; Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Sijangkang, Dr Yunus Hairi.

Pada masa sama, baginda turut berkenan berbuka puasa bersama lebih 500 masyarakat setempat yang hadir.

Baginda turut berkenan menunaikan Solat Maghrib, solat Isyak dan solat sunat Terawih secara berjemaah.