Categories
NASIONAL

Tangani isu perumahan secara menyeluruh, pantai projek terbengkalai

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PUTRAJAYA, 26 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menilai dan memantau semua projek perumahan terbengkalai dengan meneliti polisi tempoh jangka masanya.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara itu diutamakan kerana banyak kes perumahan tidak selesai berlarutan sehingga 20 ke 30 tahun.

“Saya nak kaji jangka masa yang boleh diambil tindakan kepada tanah-tanah dalam projek terbengkalai ini.

“Polisi ini ada tetapi saya tidak pasti berapa tahun kerana saya difahamkan masa yang diberikan adalah panjang untuk projek terbengkalai ini diambil alih.

“Oleh itu, perkara ini perlu lihat semula agar kita dapat pendekkan jangka masa itu supaya pihak kementerian dapat mengambil tanah tersebut untuk kita laksankan projek pembangunan semula,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya di sini hari ini.

Pada masa sama, Zuraida berkata, satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk mengkaji semula polisi sedia ada.

“Walaupun saya masih belum meneliti sepenuhnya polisi sedia ada namun saya percaya tubuhnya jawatankuasa ini untuk kita manfaatkan projek terbengkalai ini supaya ia boleh dibangunkannya semula.

“Setakat ini sebanyak 198 projek perumahan telah berjaya diselesaikan daripada 297 projek. Bagaimanapun waktu yang diambil untuk tempoh selesai itu terlalu lama sehingga lebih 20 tahun,” katanya.

=EZY=