Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Teks penuh perutusan Aidilfitri 2018 Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Berikut teks penuh perutusan Aidilfitri 2018 oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Alhamdulillah, esok, 1 Syawal 1439 Hijrah, umat Islam di Malaysia akan merayakan hari kemenangan. Kemenangan melawan nafsu. Nafsu di sini bukan sahaja terhad kepada menahan lapar dan dahaga tetapi juga melawan nafsu dengan menolak apa jua perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

 

Dalam kehidupan seharian kita, tidak dapat tidak, bertembung akan berlaku antara kehendak nafsu dan tuntutan memenuhi segala yang baik dalam ajaran agama kita.

Ada kalanya nafsu menghumban kita ke dalam perbuatan perkara-perkara yang dilarang. Ini akan mencemarkan imej kita sebagai seorang Muslim.

Tetapi Alhamdulillah, Islam itu sempurna. Jika diamati dengan teliti, ia tetap menjadikan kita manusia yang baik dan berjaya. Islam bukan sahaja agama. Islam adalah juga Ad-deen – cara hidup.

Setiap gerak-geri, perbuatan dan tindak-tanduk kita tertakluk kepada nilai agama kita. Demikian kita dituntut menjaga disiplin diri, menjaga mulut dari menutur perkara-perkara yang tidak elok, bersederhana di dalam apa jua perkara dan lain-lain lagi.

Allah Subhanahu Wataala, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani tetap melimpahkan rahmatnya kepada kita dan di bulan Ramadan yang mulia ini kita dijanjikan limpahan rahmat yang begitu banyak. Semoga amalan-amalan yang kita lakukan di bulan Ramadan ini akan memperkuatkan lagi iman kita, Insya-Allah.

Nilai hidup yang kita amalkan akan menentukan jaya atau tidaknya bangsa kita, atau diri kita seorang. Insya-Allah jika kita amalkan ajaran Islam seperti yang terdapat dalam Al-Quran kita akan berjaya di dunia dan di akhirat.

Janganlah kita ikuti ajaran yang bertentangan dengan Al-Quran dan hadith yang sahih yang dibawa oleh orang tertentu kerana ini akan menghalang kita dari mencapai kejayaan dan akan berlakulah kerosakan kepada diri kita dan masyarakat.

Ingatlah. Perbendungan nafsu yang kita lakukan semasa berpuasa mengajar kita berdisiplin dalam kehidupan kita. Sudah tentu jika ambil iktibar dari amalan ini, maka kita juga akan mampu membendung nafsu dalam segala perkara yang mencabar kita.

Negara baru-baru ini melalui proses pertukaran Kerajaan. Buat pertama kalinya, parti yang sejak merdeka memerintah telah kehilangan kuasa.
Alhamdulillah proses undian telah berjalan dengan aman, dan peralihan kuasa, walaupun tidak licin, masih aman dan teratur. Tidak terjadi rusuhan atau kekecohan sebagaimana di sesetengah negara lain.

Rakyat telah menunjukkan kuasa mereka dengan menolak pemerintah yang mereka rasakan tidak adil dan menindas, dan telah memilih Kerajaan Pakatan Harapan.

Setelah mengambil alih pentadbiran, adalah jelas bahawa kerosakan yang berlaku pada negara adalah lebih serius dan di luar jangkaan awal. Hutang negara telah meningkat dengan begitu tinggi sekali.

Kerajaan Pakatan Harapan bagaimanapun berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.

Tetapi untuk mencapai matlamat ini, langkah penjimatan perlu diambil, dan wang yang tidak halal tidak lagi boleh diagih kepada rakyat untuk menawan hati. Dengan ini, orang ramai hendaklah terima keperluan berjimat bersama dengan Kerajaan.

Percayalah korban yang sedikit yang kita ambil sekarang akan menghasilkan kesejahteraan hidup kita di masa hadapan. Inilah khasiat dari berkorban.

Jika kita tentukan negara aman dan selamat, maka pelabur akan melabur dengan ramainya, dan peluang pekerjaan akan bertambah. Ini tetap akan menyelesaikan masalah pengangguran yang menimpa ramai dari rakyat, termasuk mereka yang berkelulusan tinggi.

Sempena berakhirnya Ramadan dan menjelangnya Hari Raya Puasa ini, marilah kita renungkan akan cabaran dan dugaan yang kita hadapi sekarang, dan bagaimana dapat kita mengatasinya.

Insya-Allah dengan berkat usaha yang kuat dan sikap tidak akan menyerah kalah, usaha ini akan diberkati Allah dan kita pasti akan berjaya melepasi segala rintangan.

Percayalah, apa yang dihadapi oleh kita sekarang, tidak seberat apa yang dihadapi rakan-rakan kita di beberapa buah negara lain terutamanya di Timur Tengah.

Oleh itu marilah kita bersyukur dengan nasib kita serta ambil iktibar dan insaf terhadap apa yang berlaku kepada saudara se-agama kita yang berada di negara-negara lain di mana demokrasi yang diharap tidak mencapai tujuannya dan sebaliknya, perang saudara berlaku yang menghancurkan negara tersebut sama sekali.

Sekurang-kurangnya di sini kita masih dapat menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan serta menyambut Aidilfitri dengan penuh keselesaan dan selamat, bersama sanak saudara dan keluarga yang tersayang tanpa perlu risau dan terancam samada kita akan diserang musuh, atau dipaksa berjalan kaki dan berhijrah ke negara lain akibat bumi sendiri mengalami kehancuran.

Kepada semua kaum Muslimin saya dan isteri saya sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf, zahir dan batin, di atas apa juga kesilapan yang mungkin kami telah lakukan selama ini.

Semoga kita semua dilimpahi rahmat oleh Allah S.W.T. Insya-Allah. Kepada saudara-saudari yang bukan Islam, rayakanlah hari kebesaran ini bersama-sama dengan rakan-rakan Muslim anda.

Marilah kita bersama-sama memupuk semangat bersatu padu antara kaum di negara ini sempena Raya Aidilfitri.

Dan kepada yang pulang berhari-raya di kampung halaman, ingatlah orang yang tersayang menanti. Oleh itu pandulah dengan cermat agar kita selamat dan bertemu mereka.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.