Categories
NASIONAL

Terbabas sendiri punca utama kemalangan maut – Ketua Polis

OLEH NADIAH ZAMLUSS

SHAH ALAM, 28 JUN : Analisis Op Selamat menunjukkan bahawa faktor terbabas sendiri adalah punca utama kemalangan maut dalam kalangan pengguna jalan raya di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, antara faktor lain penyumbang utama kes kemalangan maut adalah memasuki laluan bertentangan, tidak sedar kenderaan lain keluar dan masuk simpang jalan, mengekori kenderaan hadapan terlalu rapat, membuat pusingan “U” dan melawan aliran trafik.

“Analisis menunjukkan bahawa, faktor terbabas sendiri punca utama kemalangan maut dengan catatan 142 kes, ” katanya dipetik Bernama sempena majlis penganugerahan kontinjen dan daerah terbaik Op Selamat di Bukit Aman di sini, hari ini.

Sepanjang Op Selamat bermula 8 hingga 22 Jun, lebih 22,000 kes kemalangan direkodkan dengan 248 kematian.

Beliau berkata, pertambahan jumlah kenderaan yang tidak sejajar dengan perluasan jaringan jalan raya di sepanjang 252,988.84 kilometer di seluruh negara turut menyumbang kepada musibah di jalan raya.

“Jumlah aliran kenderaan secara mendadak pada musim perayaan meningkatkan lagi risiko kemalangan,” katanya.