Categories
NASIONAL

TH disaran kaji tubuhkan syarikat penerbangan haji serantau

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 JUN: Lembaga Tabung Haji (TH) disaran supaya mengkaji untuk menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan haji di Malaysia dan beberapa negara serantau lain.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, beliau yakin cadangan itu boleh dilaksanakan dan mampu memberi pulangan menguntungkan kepada TH sendiri.

“Saya sendiri suka melihat Tabung Haji mempunyai penerbangannya sendiri dan saya dah kaji ianya boleh dilaksanakan dan berbaloi tetapi perlukan kajian teliti terlebih dahulu.

“Saya juga pernah dengar pandangan beberapa sahabat saya dalam dan luar negara yang terlibat dalam industri penerbangan yang mengatakan langkah ini berbaloi dan berdaya maju,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Rosli berkata, selain memberi perkhidmatan membawa jemaah haji Malaysia, syarikat itu juga boleh menjalankan operasinya di beberapa negara lain seperi Indonesia dan China.

Katanya, melalui cara itu, pendapatan TH dapat ditingkatkan dan sekaligus memberi pulangan lebih tinggi kepada pendeposit.

“TH perlu menceburi perniagaan yang berpotensi dan berdaya maju demi kestabilan kewangan TH dalam jangka masa panjang,” katanya lagi.