Categories
NASIONAL

Tiada lagi “rumah sarang burung” bagi orang miskin – Zuraida

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Dasar Komuniti Negara yang akan dilancarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Ogos ini mungkin mencadangkan tempat kediaman yang lebih besar kepada golongan miskin, kata menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata cadangan yang bakal dibuat adalah menambah keluasan saiz rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada 900 kaki persegi daripada 600 kaki persegi sebelum ini.

“Saya tidak mahu rumah PPR dan rumah untuk B40 ini konsep duduk di rumah ibarat sangkar burung…kecil, jadi saya cadangkan dalam pelan Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) nanti rumah yang selesa dengan rumah yang disediakan lebih besar sikit,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Kumpulan B40 terdiri daripada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan memperoleh RM3,000 sebulan ke bawah.

“Bilik, ruang tamu dan koridor mestilah selesa. Kemudahan yang lengkap seperti tempat riadah, surau, dewan, perpustakaan, semua ini kena lengkap untuk mereka supaya ada ruang untuk berekreasi dan rehatkan minda dalam kelompok sendiri tanpa perlu pergi jauh.

Kita mahu mereka rasa selesa dengan persekitaran mereka dan komuniti akan sentiasa berkomunikasi dalam kelompok sendiri,” katanya.

SUMBER: BERNAMA