Categories
SELANGOR

Tiada lantikan Timbalan Menteri Besar Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN: Tiada keperluan lantikan Timbalan Dato’ Menteri Besar di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri kini, kata Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, pendirian berkenaan dibuat selaras ‘tradisi’ Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) negeri yang menolak pelantikan jawatan itu.

“Tiada perancangan melantik Timbalan Menteri Besar dan kita akan meneruskan tradisi PAKATAN sebelum ini untuk tidak melantik jawatan itu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media di Pejabat Dato’ Menteri Besar, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pagi ini.

Sejak 2008 ketika PAKATAN mentadbir negeri, tiada lantikan jawatan itu dibuat.

Pendirian tegas turut dinyatakan mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika menerajui tampuk kepimpinan negeri.

Di peringkat Kerajaan Negeri, langkah itu dibuat selaras komitmen pentadbiran PAKATAN sebelum ini yang konsisten mengurangkan kos operasi dalam pentadbirannya.

Namun, pendirian sebaliknya diteruskan di beberapa negeri yang dikawal pentadbiran pembangkang.

Antaranya Kerajaan Kelantan yang melantik individu tertentu dalam pentadbiran negeri sebagai Timbalan Menteri Besar Negeri.