Categories
SELANGOR

Tindakan tegas terhadap kontraktor jika disabit bersalah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 29 JUN: Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor jika didapati bersalah berhubung insiden kemalangan maut membabitkan seorang pelajar yang dilanggar lori kompaktor Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau dimaklumkan Datuk Bandar MBSA bahawa kontraktor yang bertanggungjawab sudah dihubungi dan siasatan penuh akan dijalankan.

“Insiden kemalangan tersebut juga akan disiasat sepenuhnya oleh polis.

“Saya ingin memberi jaminan bertindak tegas jika kontraktor terbukti bersalah menggunakan pemandu pekerja asing yang tidak berdaftar mahupun tidak mempunyai permit, lesen dan dokumen sah,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Kompaktor Kontraktor KDEB Waste Management kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di sini, hari ini.

Amirudin berkata, bagaimanapun sehingga malam tadi tuduhan tentang pemandu tersebut adalah pekerja asing belum disahkan.

“Ia adalah kontraktor dipilih sendiri oleh MBSA dan track rekod mereka sebelum ini juga agak baik, tidak ada sebarang masalah kutipan dan aduan juga sangat kurang.

“Bagaimanapun malam tadi, kontraktor bertanggungjawab baru pulang dari Australia kerana mengikuti program MBSA dimana semua kontraktor
pembersihan dibawa keluar negara bagi meningkatkan perkhidmatan mereka.

“Ia mungkin mengambil masa sehari dua untuk saya dapat laporan penuh setelah siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

Terdahulu, dilaporkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, Nor Syazrina Damia Mohd Nazrul Rafizi maut dipercayai dilanggar sebuah lori dalam kejadian di Jalan Selayang Satu 27/27a, Seksyen 27, semalam.