Categories
GLOBAL

UNGA lulus resolusi kutuk zionis Israel

NEW YORK (PBB) 14 JUN: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), semalam, meluluskan resolusi dengan 120 majoriti undian, mengutuk Israel di atas kematian rakyat Palestin di Gaza, selain menolak usaha Amerika Syarikat untuk meletakkan kesalahan itu terhadap Hamas.

Sekurang-kurangnya 129 rakyat Palestin maut ditembak tentera Israel dalam bantahan berhampiran sempadan Gaza sejak akhir Mac lalu, namun tiada rakyat Israel yang dilaporkan terbunuh.

Resolusi yang dibentangkan oleh Algeria dan Turki bagi pihak negara Islam serta Arab itu memperoleh 120 undian daripada 193 negara anggota, manakala lapan undi menolak dan 45 undi berkecuali.

Sementara itu, pindaan resolusi yang dibentangkan oleh Amerika Syarikat bagi mengutuk Hamas kerana ‘menggalakkan keganasan’ di sepanjang sempadan Gaza itu, gagal memperoleh majoriti undian dua pertiga untuk diterima pakai.

Ketika berucap, Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley, menolak resolusi yang dianggap berat sebelah dan menuduh negara Arab cuba meraih perhatian dengan mengutuk Israel di PBB.

“Saya berharap mana-mana pihak yang menyokong resolusi berat sebelah ini supaya mencadangkan kepada Presiden Mahmoud Abbas supaya kembali ke meja rundingan,” katanya.

SUMBER: AFP