Categories
NASIONAL

UPM galakkan warga berzakat, wakaf melalui WAZAN

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 2 JUN: Universiti Putra Malaysia (UPM) menggalakkan warganya dan alumni memperkukuh amalan berzakat serta wakaf menerusi Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) bagi meningkat kebajikan universiti juga kemaslahatan sejagat.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengumpul kira-kira RM8.2 juta Dana Wakaf Ilmu sehingga 30 April lalu dengan kemudahan kepada penyumbang seperti pedmbayaran di kaunter, perbankan, peti sumbangan, skim potngana gaji dan sebagainya.

“Daripada keseluruhan kutipan wakaf tunai itu, RM3.9 juta diluluskan bagi pemilikan aset kekal iaitu untuk fasiliti Masjid UPM (RM1.09 juta), satu unit lot kedai projek Persada Awqaf (RM2.81 juta), projek Wakaf Ambulans Pusat Kesihatana Universiti (RM241,000), Pusat Aktiviti Warga Emas Wakaf Pak Ngah Atan (RM230,000) dan Wakaf Anjung Ilmu @Library UPM (RM200,000).

“Selain wakaf tunai, secara rasmi buat pertama kali dalam sejarah Dana Wakaf Ilmu telah menerima sumbangan wakaf bukan tunai pada 4 Januari lalu dalam bentuk harta tak alih daripada Bekas Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia UPM, Hasnah Udin, iaitu satu lot tanah dan bangunan bernilai RM350,000 di Golf Height, Seremban untuk dijadikan Pusat Aktiviti Warga Emas diberi nama Wakaf Pak Ngah Atan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Masjid UPM, di sini, semalam.

Katanya, UPM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, di atas pelantikan sebagai Felo Diraja UPM.

“Patik yakin dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman dimiliki Tengku Amir Shah akan dapat memberikan pandangan, nasihat dan seterusnya memacu pembangunan kesarjanaan universiti bagi mencapai visi sebagai sebuah universiti bereputasi antarabangsa,” katanya.

Dr Aini berkata, UPM atas perkenan Tuanku Canselor akan terus mengangkat ‘Ihsan’ sebagai pemangkin kepada kesejahteraan kampus dan masyarakat dalam mendepani cabaran kecemerlangan.

“Dengan berpegang kepada kepada nilai ihsan iaitu salah satu sifat mulia dalam Islam, kita optimis dapat menggapai kesejahteraan hidup dan berfungsi sebagai tenaga akademik serta warga kerja cemerlang di universiti unggul ini,” katanya.

Mengiringi Sultan Selangor dalam majlis itu ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah.

Turut bersama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin; Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari; Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud serta Pengerusi UPM Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.