Categories
SUKANKINI

WC2018: Korea Selatan ‘bungkus’, Mexico mara

ROSTOV, Rusia 24 JUN: Pasukan Mexico meletakkan sebelah kaki ke pusingan 16 terbaik selepas mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 pada aksi Kumpulan F di Arena Rostov.

Keputusan tersebut menyaksikan wakil daripada Amerika Utara itu selesa mendahului peringkat kumpulan dengan enam mata selepas turut menewaskan juara bertahan, Jerman minggu lalu.

Nasib Korea Selatan pula berbeza apabila sah tersingkir daripada pentas Piala Dunia 2018 selepas gagal mengutip sebarang mata pada dalam dua perlawanan.

Pada saingan tersebut, Mexico yang memiliki momentum luar biasa hasil kemenangan ke atas Jerman bermula cemerlang dengan meraih beberapa peluang keemasan menerusi trio serangan mereka, Javier Hernandez, Carlos Vela dan Hirving Lozano.

Pasukan yang dikenali dengan jolokan El Tri itu akhirnya meraih gol pembukaan menerusi Vela yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-27 selepas bola terkena tangan Jang Hyun-soo.

Bersambung pada babak kedua, Korea Selatan berusaha memperkemaskan jentera serangan dan meraih peluang terbaik menerusi ketua pasukan, Ki Seung-yeung pada minit ke-56 tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Guillermo Ochoa.

Mexico kemudian melebarkan kedudukan selepas Hernandez menjaringkan gol kedua dan ke-50 peribadinya di pentas antarabangsa dengan menyudahkan hantaran Lozano pada minit ke-66.

Korea Selatan berjaya merapatkan kedudukan menerusi Son Hyeun-min pada masa kecederaan tetapi keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

SUMBER: KOSMO!