Categories
NASIONAL

Zeti Aziz dilantik Pengerusi PNB, mula tugas 1 Julai

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 JUN: Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik menjadi Pengerusi dalam Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkuat kuasa 1 Julai ini.

Berdasarkan kenyataan rasmi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), pelantikan Dr Zeti bagi menggantikan penyandangnya sebelum ini, Tan Sri Abdul Wahid Omar yang akan bersara berkuat kuasa pada 30 Jun.

Sebelum ini, Dr Zeti merupakan salah seorang Ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang diamanahkan untuk memberi nasihat kepada Kerajaan berkenaan ekonomi dan kewangan.

Bagaimanapun, Lembaga Pengarah YPB dan PNB mengalu-alukan pelantikan Dr Zeti serta yakin bahawa pengalaman beliau yang luas itu mampu memberikan kepimpinan kukuh kepada Kumpulan PNB.

Malah, PNB juga yakin Dr Zeti mampu mencapai mandat asasnya untuk memperkasakan kekayaan korporat demi manfaat rakyat Malaysia.

Pada masa sama, Lembaga Pengarah PNB mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Abdul Wahid atas sumbangan yang tidak ternilai dan khidmat penuh dedikasi sepanjang berkhidmat di Kumpulan PNB sejak pelantikannya pada Ogos 2016.

Memetik kenyataan itu, Abdul Wahid sudah banyak mengukir pelan hala tuju untuk PNB demi mencapai tiga mandat yang komprehensif, pulangan mampan dan meningkatkan kekayaan ekonomi Bumiputera.

Manakala, Datuk Dr Awang Adek Hussin juga akan bersara sebagai Pengarah PNB dan Pengerusi PNB Research mulai 30 Jun ini.

Dalam kenyataannya PNB berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) mulai 28 Jun.

Sesuai dengan pelantikan itu, katanya, Lembaga Pemegang Amanah YPB disusun semula dengan memasukkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Azmin Ali, Zeti dan bekas bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang.

=EZY=