Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

140 sekolah sertai “Highly Immersive Programme”

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 JUL: Sebanyak 140 sekolah daerah Petaling Perdana menyertai Karnival “Highly Immersive Program (HIP)” yang diadakan di Universiti Selangor (UNISEL) kampus, Shah Alam, di sini, hari ini.

Program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana dengan kerjasama bersama Kelab Komunikasi Media (CMC) UNISEL itu merupakan julung kali diadakan pada tahun ini.

Penolong Pengarah PPD Petaling Perdana (Bahasa Inggeris), Salamah Mohamad berkata, Karnival HIP itu diadakan bertujuan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris dengan memberikan pendedahan yang lebih tinggi kepada pelajar dengan persekitaran kondusif.

“Karnival HIP diwujudkan kerana kita mahu mewujudkan situasi atau persekitaran kondusif supaya pelajar dapat menguasai Bahasa Inggeris secara langsung dan secara tidak langsung dengan sebaiknya.

“Pelbagai inisiatif dilakukan untuk menarik minat pelajar menguasai Bahasa Inggeris selain daripada mengajar di kelas, dan karnival HIP merupakan salah satu cara atau pendekatan yang kita gunakan untuk menggalakan mereka mempelajari Bahasa Inggeris dengan lebih seronok,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Karnival HIP 2018 yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik, Penyelidikan dan Pengurusan Perindustrian UNISEL, Prof Dr Md Sidin Ahmad Ishak, di sini, hari ini.

Selain itu, Salamah berkata, karnival itu dapat memberi kuasa kepada sekolah untuk merancang dan melaksanakan program Bahasa Inggeris yang direka khusus untuk menyesuaikan tahap murid dengan lebih mendalam.

“Karnival ini bukan hanya untuk melihat pelajar skor dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris sahaja namun sekurang-kurangnya mereka mampu menguasai bahasa kedua itu pada tahap paling minimum dengan cara menyeronokkan.

“Kita tidak mahu pelajar fikir Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang sukar dan menekan mereka,” katanya.

Antara pengisian karnival turut diadakan persembahan nyanyian, ‘choral speaking’, lakonan dan persembahan sajak dalam Bahasa Inggeris.

Selain itu, turut diadakan 10 gerai pameran dari sekolah berbeza yang menampilkan pelbagai kombinasi aktiviti menyeronokkan seperti kuiz dan permainan interaktif.