Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

16,000 pelajar daftar ‘Smart Selangor Free Tuition’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JUL: Yayasan Selangor menerima peruntukan RM5 juta daripada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program tuisyen percuma, ‘Smart Selangor Free Tuition’.

Pemangku Pengurus Besarnya, Zahura Zakry berkata, sehingga kini seramai 16,000 pelajar mendaftar program yang mensasarkan pelajar tingkatan 4 dan 5 itu.

“Pada tahun ini, Yayasan Selangor mensasarkan 25,000 pelajar mengikuti program ini dan kami yakin sebelum berakhir 2018 seramai 25,000 pelajar mendapat manfaat daripada program tuisyen atas talian yang diberkan secara percuma ini.

“Semoga pelaksanaan program ini dapat membantu para pelajar semaksima mungkin, sejajar dengan penggunaan teknologi canggih dan penggunaan telefon pintar oleh pelajar memudahkan mereka mengakses program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor Tahun 2017 di Intekma Resort & Convention Centre, di sini, hari ini.

Zahura berkata, Yayasan Selangor turut berkolaborasi dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan pelajar di Selangor.

Antaranya, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui program Pelajar Berpotensi Tinggi (HIPERS).

Katanya, Yayasan Selangor juga akan menjalankan program penjenamaan semula dengan menyediakan program yang lebih relevan dan berkesan dengan sistem pendidikan semasa.