Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

300 rai Aidilfitri Rumah Perlindungan Puteri Arafiah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kira-kira 300 orang ramai termasuk kakitangan, penghuni dan penaja meraikan Rumah Terbuka Aidilfitri di Rumah Puteri Arafiah (RPA), di sini, hari ini.

Istimewanya, pelbagai juadah disediakan pelajar di rumah perlindungan itu dengan bimbingan kakitangan.

Nasi briyani, kambing, ayam bakar, laksa dan kuew teow goreng juga pelbagai jenis hidangan mi antaranya bihun sup, mee kari serta kuew teow sup dihidangkan.

Tidak ketinggalan, pemanis mulut iaitu aneka jenis kek, ais kepal dan ABC selain rojak buah serta makanan barat.

Hadir memeriahkan rumah terbuka itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Shamshida Taharin.

Turut hadir, isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Rumah Perlindungan Puteri Arafiah adalah pusat penjagaan dan perlindungan remaja puteri di bawah umur 21 tahun anjuran PEKAWANIS yang ditubuhkan sejak Jun 2011.

Ia ditubuhkan bagi membimbing dan memberi perlindungan kepada remaja bermasalah menerusi penekanan elemen pembangunan modal insan dan rohani.

PKNS menjadi penaja utama dengan membiayai sepenuhnya kos penyelenggaraan premis.

RPA turut menerima penajaan daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Perbadanan Menteri Besar.

Majlis Agama Islam Selangor juga tidak ketinggalan menerusi Sumbangan Ar Riqob dengan menyediakan program kerohanian, kelas bahasa Inggeris dan Arab.