Categories
SELANGOR

44 keluarga Taman Muda bimbang kediaman retak

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 11 JULAI: Sebanyak 44 keluarga di Jalan Bunga Tanjung 2, Taman Muda bimbang ekoran kejadian tanah mendap sehingga menyebabkan kediaman mereka retak.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Muda, Yong Voon Sing berkata, masalah yang berlaku sejak 29 tahun lalu turut menyebabkan tebing sungai di belakang rumah penduduk terbabit pecah ekoran hakisan teruk.

“Kami semakin risau, terutama apabila berlaku hujan lebat kerana permukaan konkrit pada tebing sungai tidak lagi kukuh dan semakin banyak yang pecah.

“Begitu juga dengan lantai konkrit di belakang rumah yang turut mendap. Kami berharap pihak berkaitan sama ada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dapat mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini daripada menjadi lebih serius,” katanya ketika ditemui media.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri Teratai, Bryan Lai Wai Chong yang turun padang bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Bangunan MPAJ mengambil senarai nama penduduk yang mengalami masalah rumah retak.

“Persatuan penduduk perlu menyenaraikan rumah bermasalah dan mengambil gambar kesan retakan ini, kemudian kes akan disiasat segera.

“Antara penyelesaian terdekat yang boleh dikatakan ialah, MPAJ sudah mengeluarkan peruntukan RM700,000 bagi kerja pemulihan dan untuk pemulihan tebing sungai, ia membabitkan JPS.

“Saya juga sudah menyerahkan surat kepada JPS dan memaklumkan perkara ini, jika ia membabitkan JPS sudah tentu peruntukan lebih tinggi diperlukan,” katanya.