Categories
PBT SELANGOR

89 kakitangan MPS terima anugerah khidmat cemerlang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SELAYANG, 10 JULAI: Seramai 89 kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dari kumpulan pengurusan profesional dan sokongan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017.

Yang Dipertuanya, Suliman Abd Rahman berkata, mereka dipilih berdasarkan Laporan Penilaian Tahunan (LNPT) 2017 dan bebas daripada tindakan lembaga tatatertib.

“Saya berharap semua penerima anugerah terus komited dan meningkatkan prestasi kerja, sekali gus menaikkan imej serta kredibiliti MPS.

“Bagi yang tidak terpilih, bukan bermakna prestasi anda tidak baik, sebaliknya kuota bagi APC ditetapkan tidak melebihi lapan peratus daripada jumlah pegawai sebelum 31 Disember 2017.

“Namun, kami berharap APC dijadikan motivasi utama dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis APC 2017, di Menara MPS, pagi tadi.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Juhari Ahmad; Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim; Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat an ADN Kuang, Sallehudin Amiruddin.

Semua penerima APC 2017 menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Simpanan Premium RM1,000.

Pada masa sama, Suliman berkata, penerima turut diberi keutamaan memajukan kerjaya seperti menghadiri kursus dan seminar serta diberi keutamaan bagi pencalonan menerima pingat juga darjah kebesaran negeri atau persekutuan.

“Malah, menjadi keutamaan saya memastikan kebajikan kakitangan MPS dititikberatkan menerusi pelbagai usaha, termasuk pembekalan ‘vest reflector’ bagi kumpulan C dan D membabitkan 500 kakitangan dengan peruntukan RM27,500.

“Bantuan untuk membuat cermin mata sehingga RM300 bagi tempoh tiga tahun turut dibuat, sekali lagi tahniah dan syabas kepada penerima APC 2017,” katanya.