Categories
NASIONAL

Sembilan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional letak jawatan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 JUL: Khazanah Nasional Berhad mengesahkan laporan peletakan jawatan sembilan ahli lembaga pengarahnya termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Nor Md Yusof.

Khazanah menerusi kenyataan berkata, tindakan peletakan jawatan itu bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar dan efisien, di bawah kepimpinan kerajaan baharu.

“Semua ahli lembaga pengarah berasa bangga dan berbesar hati kerana diberi peluang menjalankan perkhidmatan dengan syarikat ini.

“Kami menyifatkan tindakan ini wajar untuk menawarkan kerajaan baharu hak mutlak dalam membentuk dan memilih ahli lembaga pengarah.

“Kenyataan lanjut dikeluarkan selepas mendapat butiran berhubung pembentukan lembaga pengarah baharu,” katanya.

Pengarah Khazanah Nasional lain termasuk Dato’ Sri Nazir Razak, Dato’ Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Dato’ Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Raja Tan Sri Arshad Raja Uda.

Terdahulu, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengkritik syarikat dana pelaburan terbabit yang didakwa menyimpang daripada tujuan asal penubuhannya untuk membantu kaum Bumiputera.