Categories
SASTERA

9 Mei

Oleh Saat Omar

JALAN sesak dari Sungkai sampai ke Bidor. Aku patut dengar cakap Juita-masuk Tanjung Malim dan terus ke Tapah ikut jalan lama. Memang kami dah menjangka ramai warga kota balik ke kampung dan lebuh raya akan penuh dengan kenderaan, tapi tak sangka ia akan sesak macam ni. “Macam nak balik raya,” kata Juita. Dia mula menyenget duduk bersandar sambil kaki kirinya disandar ke tepi pintu.

Aku tak sangka pelawaan aku untuk menemani aku balik ke kampung akan diambil serius oleh gadis itu. Tambahan lagi sejak kebelakangan ini hubungan kami tak baik. Kami dah tak bercakap selama seminggu. Tapi bila aku ajak dia untuk teman aku mengundi, Juita kata ya. Dia teringin sangat nak bertemu dengan mak aku katanya. Mereka pernah berbual di telefon beberapa kali.

Sebenarnya aku sangat sibuk ketika ini, dengan tender baru yang syarikat dapat dan perlu diselesaikan untuk pembentangan pada Kementerian Pendidikan Isnin ini. Rakan sepejabat bekerja siang dan malam, memastikan kertas kerja berjalan lancar sehingga ada yang  tidur di pejabat. Encik Khir, bos aku tak benarkan aku bercuti. Akhirnya dia cakap “Kau mengundi awal pagi. Sebelum kaunter undi bukak kau dah beratur. Lepas tu kau terus balik sini. Ok?” katanya dan aku hanya mengangguk.
Malam itu lepas ambil Juita di Pandan Indah kami terus menyusur masuk Lebuhraya Utara Selatan dan tiba di rumah lepas 12 tengah malam. Julia turun dari kereta dulu dan bergegas mencium tangan emak. Mereka berpelukan.

Masa aku dah terbaring tidur, mak dan Julia masih berbual di dapur. Aku tak suka dia rapat sangat dengan mak. Buat aku makin sukar untuk melepaskan dia pergi.

Pagi itu mak kejut aku macam biasa. Lepas Subuh dia dah bersiap untuk mengundi. Juita tinggal di rumah. Aku dan beberapa jiran menumpang keretaku ke pusat mengundi. Masa kami sampai di sekolah rendah, orang ramai dah beratur. Aku bernasib baik sebab aku datang dengan mak. Kebanyakan pengundi kenal mak dan dia orang beri ruang pada kami untuk memotong barisan. Aku beratur, aku undi dan aku pangkah.  Kemudian aku terus pulang, merangkak kembali ke katil, balas dendam tidur

Pukul tiga, ketika aku bersiap nak pulang, kami diberitahu ada anak jiran nak menumpang balik ke KL. Dia bekerja di Jalan Tun Razak dan tinggal di Shah Alam. Aku boleh turunkan dia di KL Sentral, katanya. Sepatutnya dia balik dengan bas tapi tiket habis. Kata budak itu lagi, ini kali pertama dia mengundi dan dia sangat ghairah. Dalam perjalanan pulang kami berbual rancak tentang politik.

Macam kebanyakan remaja, Daud tidak teragak-agak mengaku memangkah Pakatan Harapan. Dia baru berusia empat tahun pada 1998, jadi dia tanya aku banyak tentang Reformasi. Walaupun muda tapi pengetahuan anak Pak Daud tentang politik sangat luas. Dia membaca buku, katanya. Dan juga mengikuti perkembangan dan gosip politik melalui Twitter dan Facebook. Amat mustahil untuk membayangkan Pakatan Harapan kalah pada election kali ini, katanya. Aku cuma mengangguk. Kami terus berbual walau dia yang lebih banyak bercakap. Juita duduk di belakang sesekali menyampuk.

Kami sampai ke Kuala Lumpur lebih kurang pukul 12 tengah malam. Lepas aku hantar  dia ke KL Sentral, aku terus ke rumah Juita. Hanya kini aku rasa ada masa terluang untuk aku berbual dengan dia.

Sebelum sampai ke rumahnya, Juita kata dia lapar dan nak makan. Aku pun membelok ke restoran mamak tempat kami selalu bertemu.

Restoran penuh sesak malam itu, manusia berkumpul untuk mendengar keputusan pilihan raya sambil bersorak. Aku dan Juita duduk di hujung restoran, senyap. Kami tak berbual langsung.Tapi aku faham bahasa badannya. Dia perempuan yang berada di persimpangan-antara aku dan lelaki lain. Dan aku amat yakin dia memilih lelaki itu. Aku kira dia bawa aku ke sini untuk membuat pengakuan. Tapi Juita tak berani berterus terang. Sebaliknya dia tiba-tiba menangis. Dia tak perlu menjelaskan kenapa dia menangis — aku faham. Ia bermaksud  dia telah memilih yang lain, serta mengucapkan selamat tinggal

Kami terus duduk di situ tanpa berbicara apa pun. Untuk berjam-jam lamanya, tiada satu pun perkataan keluar dari mulutnya. Sesekali konsentrasi kami diganggu dengan bunyi laungan dan sorakan dari pengunjung restoran itu. Satu lagi keputusan yang mengejutkan ramai. Sesekali kau melihat keputusan SPR di TV, hanya kerana aku cuba mengelak dari memandang tepat ke arah Juita. Sesekali aku bertanya padanya jika dia ingin pulang, tapi dia hanya menggelengkan kepalanya . Suasana restoran masih lagi riuh rendah dengan sorakan para pengujung pada setiap keputusan yang pilihan raya yang tercatat pada peti tv.

…sampai pukul 4 pagi baru Juita minta aku hantar dia pulang. Itupun setelah lama dia menangis. Kami bangun dari kerusi restoran dan bergerak ke kereta. Dalam kenderaan aku cuba memujuk Juita. Mengatakan yang semuanya akan jadi ok dan aku mendoakan kebahagiaan untuknya. Apa yang aku katakan memang lemau tetapi aku mati ayat untuk memujuknya. Sepatutnya aku marah dan kecewa. Tapi aku bohong kalau aku mengatakan yang aku tak menjangka hubungan dingin kami akan berakhir begini. Akhirnya kami tiba di rumah Juita. Lepas dia keluar dari kereta, sekalipun dia tak berpaling pada aku. Hanya ketika ini aku berasa sangat sedih hubungan kami berakhir seperti ini.

Masa aku tiba dirumah, jam dah dekat pukul 6 lebih.Aku penat, letih, dan yang aku fikir cuma untuk terus tidur. Bila buka gate rumah, aku perasan ada seorang lelaki tua duduk atas kerusi roda, selang dua rumah dari rumah sewa aku.  Dia tersenyum dan mengangkat tangan. Aku memberi salam. Seingat aku ini kali pertama aku melihat dia. Di hujung langit, di atas bumbung rumah teres itu aku melihat langit pagi beransur cerah. Ia awan pagi yang cantik, terasa seperti dunia baru dilahirkan semula.

“Cantik langit pagi ni menyambut Malaysia baru, pakcik,” sapa aku pada pakcik tua tu, memulakan perbualan.

Dia hanya tersenyum sambil berkata “memang. Tapi untuk menikmatinya kau kena selalu bangun awal pagi,” jawab pakcik itu. Yang membuatkan aku tersenyum dengan  kata-kata sinisnya. Dia sempat mengangkat tangan pada aku sebelum aku menolak pintu gate rumah dan masuk ke dalam untuk tidur.