Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

ABIM gesa ahli parlimen lebih matang

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat sikap serta mutu perbahasan yang dipamerkan sesetengah ahli Dewan Rakyat ketika sidang Parlimen ke-14 berlangsung pada hari ini. Insiden tersebut amat memprihatinkan kerana permulaan sidang Parlimen ke-14 sangat penting untuk rakyat menilai prestasi pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih.
Atas dasar tersebut; ABIM menyeru agar semua Ahli Parlimen mempamerkan sikap kepimpinan dan teladan yang baik, berakauntabiliti dan profesional sepanjang tempoh persidangan berlangsung, sesuai semangat reformasi institusi yang dibawa dan digerakkan selama ini.
Memandangkan institusi Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di negara ini; ABIM juga menuntut agar seluruh wakil rakyat yang dipilih bertanggungjawab untuk mengemukakan perbahasan yang berkualiti, secara rasional dan matang sesuai semangat demokrasi dan perubahan yang ingin dicetuskan. Mereka seharusnya membuat persiapan awal dan rapi bagi memastikan setiap sesi dapat dilalui dengan sesi soal jawab serta perbahasan yang mempunyai inti pati yang signifikan dan bermaklumat.
Di samping itu, ABIM juga ingin menekankan betapa pentingnya untuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta pegawai-pegawai berkenaan memainkan peranan yang berkesan dan penuh wibawa, bagi mengawasi perjalanan mesyuarat supaya berjalan dengan lancar, memastikan perbahasan mematuhi Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, serta membuat keputusan tegas dan memberi tafsiran secara jelas mengenai Peraturan-peraturan Mesyuarat sekiranya berlaku perkara-perkara berbangkit.
ABIM mengharapkan agar setiap anggota Dewan Rakyat mahupun  Dewan Negara untuk menumpukan perhatian untuk memenuhi agenda serta dasar untuk mengangkat isu rakyat yang menyantuni kebajikan mereka seiring dengan pembangunan negara. Hujah-hujah juga seharusnya disampaikan dengan menggunakan laras bahasa kebangsaan yang betul supaya sejajar dengan imej institusi Parlimen yang punya kedudukan tersendiri.
ABIM menegaskan Parlimen tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk membicarakaan isu-isu remeh, sehingga mengenepikan hak rakyat yang agenda lebih besar dan bermakna dilaksanakan untuk mereka. Permulaan sidang Parlimen kali ini menandakan Rakyat sudah mulai memerhati serta menilai kualiti serta kewibawaan setiap seorang wakil yang mereka pilih ketika pru-14 yang lalu.
Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)