Categories
SELANGOR

ADN mahu selesai isu SK Damansara Jaya 1 dan 2

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin akan cuba menyelesaikan masalah dana dihadapi Sekolah Kebangsaan Damansara Jaya (1) dan (2) yang berdepan isu perkongsian kawasan, sejak sekian lama.

Katanya, selain berkongsi alamat sama, bilangan murid di kedua sekolah berkenaan semakin berkurangan, namun masih dibahagi kepada dua sistem.

“Semasa menghadiri aktiviti gotong-royong anjuran Sekolah Kebangsaan Damansara Jaya (1) pada 14 Julai lalu, saya dimaklumkan kedua sekolah sebenarnya berkongsi kawasan sama dengan jumlah murid kian berkurangan.

“Oleh itu, timbulnya isu kekurangan dana untuk pelbagai jenis pembaikan dan naik taraf yang perlu dilakukan ekoran Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah yang kecil biasanya agak lemah,” katanya.

Jamaliah berkata, beliau dijemput ke program itu selepas berjaya membantu menyelesaikan isu bekalan elektrik di salah satu blok sekolah sebelum ini.

Katanya, pertemuan itu memberi lebih ruang kepadanya memahami latar belakang sekolah, selain mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi.

“Saya berkesempatan merasmikan penanaman tumbuhan baru dan melawat kawasan sekolah yang turut menjalankan Program Integrasi Pendidikan Khas.

“Saya gembira dapat meluangkan masa bersama pihak sekolah selain memahami isu dihadapi dan berkenalan dengan mereka.

“Pada saya, program gotong-royong seperti ini amat digalakkan bukan sahaja bagi menbersih dan memperindahkan kawasan sekolah tetapi juga saling mengenali, mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kerjasama,” katanya.