Categories
PBT SELANGOR

Ahli Majlis perlu isytihar semua kepentingan

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 31 JUL: Ahli Majlis di Selangor dikehendaki mengisytiharkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika memiliki kepentingan peribadi terhadap sesuatu cadangan projek.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Tze Han berkata, Ahli Majlis terbabit tidak dibenarkan terbabit dalam perbincangan atau membuat keputusan jika didapati mereka atau ahli keluarga memiliki kepentingan, dalam syarikat itu.

“Kerajaan Negeri juga meminta semua Ahli Majlis mengisytiharkan semua kepentingan di dalam setiap mesyuarat atau setiap kertas yang dibentangkan.

“Mungkin mereka ada kepentingan peribadi dalam sesuatu kertas yang dicadangkan. Mungkin mereka terbabit dalam sesuatu bidang atau ahli lembaga dalam sesebuah syarikat, maka perlu isytiharkan kepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), di sini, semalam.

Ketika mengulas komposisi Ahli Majlis baru di seluruh Selangor, Tze Han berkata, sebanyak 26 peratus Ahli Majlis kali ini dianggotai golongan wanita.

Katanya, sebanyak 25 peratus Ahli Majlis di Selangor adalah anggota Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau persatuan, dalam pelbagai bidang.

“Selepas majlis angkat sumpah hari ini, selesailah semuanya di PBT seluruh Selangor dan berdasarkan statistiknya, untuk wanita kami berjaya capai 26 peratus untuk penggal ini dan bagi NGO 25 peratus. Pelantikan baru 60 peratus dan pelantikan semula 40 peratus.

“Adanya kombinasi baru dan lama ini, saya yakin urusan bagi semua PBT dapat dijalankan dengan lancar. Pihak Kerajaan Negeri juga dalam rancangan mengatur satu latihan kepada semua Ahli Majlis baharu, dalam masa terdekat,” katanya.