Categories
NASIONAL

AirAsia dinobat Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 JULAI: AirAsia dinobat sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk kali ke-10 berturut-turut.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, kejayaan terbabit diraih pada Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax 2018 yang diadakan di London, semalam.

“Anugerah itu disampaikan kepada Pengasas bersama AirAsia yang juga Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun di London,” katanya.

Anugerah Skytrax yang disifatkan sebagai Anugerah Oscar bagi Industri Penerbangan, merupakan penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan membabitkan tinjauan lebih 20.36 juta pelanggan di 105 negara dan antara lainnya mengukur piawaian merentasi 49 petunjuk prestasi utama produk serta barisan hadapan khidmat pelanggan bagi syarikat penerbangan.

AirAsia adalah syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia meliputi lebih 130 destinasi di serata Asia, Australia, New Zealand serta Asia Barat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama AirAsia X Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kemenangan 10 kali berturut-turut itu sebagai sesuatu yang amat bermakna.

Malah, sewaktu pengumuman kejayaan itu, beliau turut menganggap kejayaan sejak sedekad lalu itu sebagai sukar dipercayai dan menakjubkan.

“Pencapaian ini menunjukkan penduduk ASEAN sememangnya luar biasa dan kita boleh melakukan apa sahaja asalkan kita yakini kemampuan itu,” katanya.

Fernandes berkata, AirAsia akan terus memanfaatkan teknologi sedia ada bagi memudahkan orang ramai melakukan perjalanan udara, pada kadar tambang rendah.

Beliau berkata, cabaran bagi AirAsia adalah kejadian di luar jangka seperti letupan gunung berapi yang menyebabkan lapangan terbang terpaksa ditutup.

Pada masa sama, syarikat itu juga sedang berusaha mendapatkan destinasi penerbangan baharu.

“Impian saya adalah memastikan AirAsia mampu terbang ke seluruh benua,” katanya.