Categories
SELANGOR

Akademi Headstart perintis bantu kanak-kanak austisme

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 JUL: Akademi Headstart (Headstart Academy) dilancarkan sekaligus menjadi perintis membantu keluarga yang mempunyai anak autisme.

Pengasas Kumpulan Headtstart, Khairul Razman Ramly berkata, akademi yang turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Real Estate (PREC) itu turut dilancarkan bersama Headstart Therapy.

Katanya, kedua-dua program terbabit menyediakan kemudahan dan juga perkhidmatan kepada keluarga yang mempunyai anak autisme.

“Akademi Headtstart ini juga mendapat kerjasama daripada Sekolah St Clare’s, Singapura yang mempunyai kepakaran pendidikan buat anak istimewa, kita akan menggunapakai sistem akademik dan kurikulum mereka memandangkan St Clare’s sudah lama dalam bidang pendidikan khas kanak-kanak di Singapura

“Menariknya lagi, melalui akademi ini, kita memberi pengalaman baru kepada kanak-kanak autisme melalui program pembangunan kecergasan untuk minda dan juga tubuh badan setiap daripada mereka.

“Kesemua ahli terapi dan guru akademi terdiri daripada mereka yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang pengkhususan masing-masing,” katanya ketika ucapan perasmian Akademi Headtstart di SACC MALL.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PREC, Fakru Radzi Ab Ghani dan pemilik Sekolah St Clare’s, Kelvin Ng dan Pr Prakalathan.

Sementara itu Faktru dalam ucapannya berkata, kerjasama PREC bersama Akademi Headstart adalah salah satu Program Tanggungjawab Sosial (CSR).

“PREC sentiasa kehadapan dalam program- CSR di Selangor, sejak ditubuhkan pada 2012, PREC telah membelanjakan kira-kira RM11.5 juta bagi tujuan seumpamanya.

“Saya percaya manusia adalah sumber terpenting dalam sesebuah negara, dan disebabkan itulah kanak-kanak adalah masa depan kita, kami berharap dengan kerjasama PREC ini dapat membantu akademi terus kukuh membantu kanak-kanak istimewa,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Akademi Headstart ini, orang ramai boleh layari laman web www.headstart.my atau hubungi terus talian 0128855572.