Categories
NASIONAL

Amal nilai mulia, elak salah guna kuasa

SHAH ALAM, 9 JULAI: Penjawat awam di negara ini diingatkan supaya mengamalkan nilai mulia dalam perkhidmatan dan tidak menyalahgunakan kuasa serta amanah diberikan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, warga pentadbir perlu memiliki keikhlasan dalam menjalankan tugas bagi membolehkan pembangunan negara tercapai.

“Perlu ada nilai hidup mulia, kerajinan, keikhlasan, amanah dan disiplin tetapi adakala kita terpesong apabila diberi peluang, kita lupa kepada tugas.

“Kita tidak diberi kuasa di peringkat ini untuk perkayakan diri tetapi menjalankan tugas tertentu. Apabila kita seleweng, salah guna kuasa, percayalah kita sendiri akan jadi mangsanya kemudian.

“Kuasa bukan untuk memperkayakan diri, keluarga atau sahabat handai, kuasa ada matlamat khusus untuk menjayakan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.