Categories
SELANGOR

Amirudin: Calon DUN Sungai Kandis diumum selepas SPR umum PRK

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 JUL: Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hanya akan diumumkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman mengenai pilihan raya kecil (PRK) bagi kawasan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya belum menyentuh perkara itu dan kepimpinan tertinggi parti akan membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Belum lagi (berkaitan calon) kerana saya perlu membuat laporan kepada kepimpinan tertinggi parti.

“Saya akan membuat pengumuman selepas SPR membuat pengumuman mengenai PRK DUN Sungai Kandis,” katanya kepada media.

Beliau berkata, sememangnya KEADILAN bersedia untuk menghadapi PRK nanti walaupun masih bersedih dengan kehilangan Allahyarham Shuhaimi Shafiei, 2 Julai lalu.

Shuhaimi, 50, meninggal dunia pada jam 11.10 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat penyakit kanser limfoma.

Jenazah Allahyarham diuruskan di masjid sama dan disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 di sini selepas solat Asar.

Beliau sebelum ini adalah ADN Seri Muda selama dua penggal selepas memenangi PRU12 dan 13 serta meneruskan kecemerlangan di DUN Sungai Kandis pada PRU14.