Categories
NASIONAL

Anwar stabil, tunggu proses akhir pulang ke Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 25 JUL : Keadaan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan stabil selepas menerima rawatan intensif di Turki.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bagaimanapun berkata, Anwar masih belum dibenarkan pulang ke Malaysia, berikutan beberapa prosuder rawatan yang perlu dilalui bapanya.

“Pihak keluarga merasakan adalah perlu untuk kami tidak memberikan sebarang tekanan dan desakan bila beliau akan pulang ke Malaysia.

“Memberi desakan hanya akan merunsingkan beliau kerana keutamaan kami adalah aspek kesihatan Anwar Ibrahim.

“Namun, apabila doktor di sana memberi kelulusan untuk beliau pulang, pastinya beliau akan pulang ke Malaysia,” katanya.

Beliau diminta mengulas keadaan kesihatan Anwar yang kini berada di Turki bagi menjalani pembedahan dan rawatan susulan kecederaan bahu kanan.

Anwar kini dilapor berada di Medipol Mega University Hospital, Istanbul.

Terdahulu, Nurul Izzah bercakap kepada pemberita pada sidang media Program Sinar Harapan dan Majlis Menandatangani Program MyHeart Siri 3 di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.

Majlis berkenaan menyaksikan persefahaman memorandum antara Yayasan MyPrihatin dan IJN Foundation bagi siri ketiga sebagai inisiatif membantu pesakit jantung yang memerlukan dan bagi tujuan perubatan dan kos logistik.

Yayasan MyPrihatin diwakili Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Halimaton Hamdan dan IJN diwakili Ahli Lembaga Pengarah, Pemegang Amanah Yayasan IJN, Raja Datin Raja Mansor.