Categories
NASIONAL

Bayi mati : Wan Azizah mahu akta diperketat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 21 JUL : Akta terhadap kebajikan kanak-kanak dan bayi perlu diperketatkan dengan pengenalan dasar baru yang lebih efisien dilaksanakan di Putrajaya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah berkata demikian sebagai keperluan bagi menangani masalah kecuaian penjagaan bayi dalam kalangan pengasuh.

“Kita perlu ketatkan undang-undang atau akta dan peraturan yang ada.

“Saya sudah dapatkan perbincangan dengan pejabat peguam negara, dan beliau sudah memberikan saranan terhadap apa yang perlu ditambah baik kerana terdapat kelonggaran terhadap akta sedia ada kini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes kematian, Naufal Amsyar Nabil Fikri yang didakwa terjatuh di rumah pengasuh.

Bapa bayi malang itu, Nabil Fikri Anwar, 28, yang memaklumkan bayi tunggalnya yang berusia 10 bulan itu telah kembali ke rahmatullah, jam 9 pagi tadi.

Menyifatkan kes berkenaan sebagai tragedi menyedihkan, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga itu berharap kejadian sama tidak berulang.

Justeru katanya, pelaksanaan dasar baharu sedang dikenalpasti di peringkat Kementeriannya untuk dibincangkan bersama jemaah Kabinet.

“Saya sungguh sedih dengan tragedi seperti ini. Sedangkan anak kecil ini harus dijaga dengan baik demi masa depan mereka.

“Ini satu tragedi, dan untuk itu saya minta pihak kementerian saya mengenalpasti sebarang dasar yang boleh menangani masalah kecuaian ini,” katanya.