Categories
SELANGOR

Berbasikal bantu pelihara alam, kurangkan karbon dioksida

PUNCAK ALAM, 29 JUL: EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail menggalakkan masyarakat mengamalkan aktiviti berbasikal bagi mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida.

Rodziah berkata, ia selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri yang menjadikan Ahad sebagai hari tanpa kenderaan pada setiap minggu.

“Kita berhasrat hari tanpa kenderaan yang diamalkan di Selangor ini dijadikan contoh di seluruh negeri di Malaysia terutamanya supaya amalan gaya hidup sihat itu dapat dipraktikkan dalam kehidupan harian.

“Kini, lorong berbasikal sudah diwujudkan bukan sahaja di Selangor malah di beberapa bandar besar seperti Wilayah Persekutuan sudah mula menyediakannya bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat bersukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Persidangan Kerjasama Industri Basikal Malaysia-China bertempat di Dewan Aktiviti Eco Grandeur, di sini, hari ini.

Sementara itu, Rodziah memuji inisiatif dilaksanakan Syarikat Evanda Sdn Bhd dari negara China itu yang berusaha membina trek berbasikal 10 kilometer (km) di kawasan Eco Grandeur.

“Wujudnya trek sejauh 10km ini dengan mempunyai ciri keselamatan sudah pasti akan menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk menjalani aktiviti berbasikal.

“Terima kasih kepada Syarikat Evanda Sdn Bhd kerana berusaha memastikan masyarakat di Selangor dan Malaysia untuk memulakan kehidupan baru dengan menjadikan aktiviti basikal sebagai keutamaan,” katanya.