Categories
NASIONAL

Cabaran tangani rasuah masa kini lebih sukar berbanding 1981 – PM

PUTRAJAYA, 10 JUL: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui cabaran menangani rasuah dan salah guna kuasa pada masa kini lebih mencabar berbanding ketika beliau pertama kali dilantik sebagai perdana menteri pada tahun 1981.

Dr Mahathir berkata ketika mengambil alih tampuk pemerintahan negara 37 tahun dahulu, jentera kerajaan pada ketika itu dilihat hampir bersih daripada gejala rasuah, tidak seperti masa kini.

Beliau mendakwa tindakan seorang bekas perdana menteri ‘mempromosikan’ rasuah melalui kenyataan ‘cash is king’ atau ‘wang itu raja’ mengakibatkan habis jentera kerajaan terlibat.

“Kita kena pilih, tapis sebelum kita ambil tindakan. Kalau kita syak, kita tidak boleh buang semua pegawai kerajaan yang kita syak (terlibat rasuah) kerana yang demikian kita tiada jentera untuk melaksanakan tugas dan arahan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan pada Taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini, yang dihadiri hampir 160 anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) serta anggota pentadbiran kerajaan termasuk jemaah menteri.

Dr Mahathir yang menyambut ulang tahun ke-93 hari ini turut menerima ucapan Selamat Hari Lahir selepas menyampaikan perutusan pada sesi taklimat itu daripada tetamu yang hadir.

Ditanya pemberita akan harapannya pada harijadinya itu, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: “Saya harap media akan membantu kami membanteras rasuah,” yang disambut dengan tawa hampir 50 petugas media yang membuat liputan sidang media itu.

Taklimat tertutup yang julung kali diadakan itu dianjurkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bertujuan memberi pendedahan tentang pelbagai aspek berkaitan rasuah dan usaha pencegahan buat anggota Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

SUMBER: BERNAMA